Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berkenan mengalu-alukan kedatangan Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Probowo Subianto, serta rombongan yang berada di negara ini bagi mengadakan Lawatan Negara.
Terdahulu sebelum itu, paduka anakanda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berangkat bersama Tuan Yang Terutama Presiden Republik Indonesia dari The Empire Brunei menuju ke Istana Nurul Iman.
Di sepanjang jalan menuju ke Istana Nurul Iman, TYT Presiden Republik Indonesia disambut dengan pengibaran bendera kecil kedua-dua buah negara oleh para penuntut dan guru-guru daripada beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta.
Pada Majlis Sambutan Negara yang berlangsung di perkarangan Istana Nurul Iman, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bersama-sama TYT Presiden Republik Indonesia menaiki Pentas Khas untuk menerima Tabik Hormat diiringi dengan Lagu Kebangsaan kedua-dua buah negara, diikuti 21 das tembakan meriam.
Kedua-dua pemimpin seterusnya beredar memeriksa Barisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota-anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Sejurus selepas itu, TYT Presiden Republik Indonesia seterusnya diperkenalkan kepada ahli-ahli kerabat diraja, Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, Menteri-menteri Kabinet, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Di-Raja, Timbalan-timbalan Menteri, Pemerintah ABDB, Pemangku Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Ketua-ketua Perwakilan Asing, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, dan Setiausaha-setiausaha Tetap dari Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya disembahkenalkan kepada ahli-ahli rombongan rasmi TYT Presiden Republik Indonesia.
Hubungan diplomatik antara NBD dan Republik Indonesia yang terjalin melebihi empat dekad itu terus berkembang menerusi pelbagai kerjasama yang memperluaskan pencapaian baharu demi kepentingan bersama.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto